December 2007


Kadang-kadang fikiran saya melayang jauh terkenangkan segala memori hidup di satu masa dulu. Seperti tidak disangka-sangka, sungguh banyak perkara-perkara yang berlaku yang boleh dijadikan sebagai pengalaman (samada yang pahit mahupun yang manis) dan juga untuk dijadikan sebagai pengajaran dalam menempuh sisa-sisa hidup di masa akan datang. Cukupkah pengalaman itu untuk saya jadikan pedoman dan petunjuk? Atau sekadar hanya untuk memberi cerita atau dongengan pada yang merujuk?
Cukuplah sekadar itu sahaja pembuka blog saya pada kali ini. Hanya ingin bermain dengan kata-kata. Manalah tahu kalau-kalau dapat menjadi seperti penulis atau penyair terkenal yang sememangnya masyhur dengan seni kata-kata. Bukanlah terbit langsung di hati ini untuk menandingi mereka, cuma ingin melakukan sesuatu yang mungkin hampir sama, walaupun hanya sekadar untuk renungan segelintir pembaca. Seperti sudah lari dari tujuan saya menulis hari ini. Adalah lebih baik diteruskan usaha dalam mencuba nasib sebagai pencerita.
Kisah-kisah yang akan saya ceritakan dalam berberapa episod ini, hanyalah sekadar ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman kecil saya ketika zaman kanak-kanak. Mungkin tak dapat saya huraikan semua, tetapi akan saya cuba sedaya upaya dalam melaksanakan perkara tersebut.
Kegemaran saya (dan juga abang serta dua lagi sepupu saya) ketika kanak-kanak adalah mandi sungai. Sehingga kini tidak dapat saya fahami, apakah keseronokan sebenarnya dalam berbuat sedemikian. Hanya pergi kesungai, menanggalkan seluruh pakaian di badan (kerana ketika itu saya belum lagi berkhatan), lalu terjun ke dalam air. Pernah juga kami berempat yang sememangnya terlalu suka mandi di sungai, telah curi-curi masuk ke dalam kolah besar di belakang rumah nenek. Kolah itu, selalunya dipenuhi air hingga melimpah-limpah. Maklum saja, air itu disalurkan dari bukit di belakang rumah. Jadi, maka sebab itulah dibiarkan saja ianya melimpah-ruah seperti itu.
Kadang-kadang, adik bongsu kepada emak saya juga tidak ketinggalan berendam dalam kolah tersebut sekiranya kami mandi petang bersama. Masih saya dapat bayangkan keadaan sekeliling kolah tersebut. Suasananya agak teduh kerana panas matahari dilindungi oleh dua batang pokok kelapa. Satu tinggi dan yang lagi satu itu agak rendah pokoknya. Pernah juga ada sarang burung tempua kelihatan tergantung pada pelepah daun pokok kelapa yang tinggi itu. Itulah kali saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana rupa bentuk sarang burung tempua, yang selama ini hanya dilihat di dalam buku teks sekolah sahaja.
Salah seorang dari kami akan ditugaskan mengawal dengan memerhatikan sekeliling sekiranya ada sesiapa yang datang ke arah kolah. Yang paling kami takut, kalau-kalau ditangkap oleh atuk. Memang teruk dimarahi dan dipukulnya. Tapi kalau difikirkan semula, memang betul juga apa yang membuatkan dia marah. Bayangkanlah kalau air dalam kolah itu dah direndam dengan kami berempat (kadand-kadang berlima dengan pakcik!), sudah tentu airnya akan kotor dek kerana kami. Jadi, memang tiada salahnya kami dipukul dan dimarahi ketika itu.
Walaupun atuk seorang yang agak tegas dan garang, tapi dia selalu mengupah kami sekiranya menolongnya pergi ke kedai untuk membeli barang. Kami juga tidak menolak apabila dipelawa untuk naik ke hutan di bukit belakang rumah nenek, untuk memeriksa serta mencuci getah paip yang menyalurkan air bukit itu ke kolah tempat kami mandi (dan berendam!). Biasanya atuk akan pergi mendaki bukit pada sebelah petang sekitar pukul dua atau tiga. Dalam perjalanan, atuk akan mencabut sambungan antara getah-getah paip sambil mengetuk-ngetuk dengan parangnya, bagi mengeluarkan kesan mendapan tanah serta lumut yang melekat pada bahagian dalam saluran getah paip tadi. Sementara kami hanya mengekorinya dari belakang, sambil mengutip ranting kayu dan dahan pokok yang kecil yang sudah jatuh dari pokok. Walaupun lengan dan kaki puas digigit nyamuk, namun tetap sahaja kami ingin mengikuti atuk setiap kali dia ke atas bukit. Pacat juga tidak ketinggalan menghisap darah dari kaki kami. Ada kalanya, hingga sampai kedalam seluar! Maklum saja, selalunya, kami akan hanya berseluar pendek ketika di rumah. Dan hanya berselipar sahaja untuk naik ke hutan itu, tanpa memikirkan apa yang mungkin terpijak oleh kaki ketika di dalam hutan ketika itu. Mungkin itu juga yang menyebabkan saya berfikir, kerana itulah, orang-orang yang hidup di zaman dahulu lebih kuat dari anak-anak yang lahir di zaman moden kini.
…..bersambung di episod seterusnya.
MahsihLuzd
Novel pertama karya A Samad Said yang saya baca. Walaupun setelah berumur hampir 30 tahun, entah mengapa tiba-tiba pula hati saya tergerak untuk membaca karya-karya beliau. Buat masa ini, saya sedang menghabiskan buku beliau yang bertajuk ‘Adik Datang’. Mungkin agak lewat juga bagi diri saya dalam mengamati karya beliau, tapi bagi diri ini, lebih baik lambat dari langsung tidak.
Novel ‘Hujan Pagi’ ini bagi saya agak unik. Mungkin kini saya baru sedari bahawa beliau (A Samad Said) sangat terperinci dalam menulis. Sungguh terpikat saya dibuatnya. Cara beliau menggambarkan sesuatu keadaan sekeliling satu-satu babak dalam novel ini, amat menarik perhatian saya. Ianya membuatkan saya hilang atau terbang dari tempat duduk saya buat seketika, seperti muncul dalam situasi yang digambarkan beliau. Saya rasa inilah magis yang mampu dilakukan oleh beliau dalam ‘memaksa’ diri saya untuk terus menerus membaca ‘Hujan Pagi’.
Watak-watak dalam kisah novel ini mempunyai karektor yang tersendiri. Penceritaan dan penghayatan watak yang bagi saya amat sempurna dalam membolehkan kita menyelami isi-isi penting yang cuba disampaikan penulis.
Konflik di antara kehidupan realiti dan imaginasi watak yang bernama Lokman sungguh menarik di mana, sehingga kadang-kadang mungkin (bagi saya yang membacanya) agak keliru samada dia sedang di kehidupan sebenar atau imaginasinya. Begitu juga konflik kehidupan, percintaan, semangat perjuangan dan kemasyarakatan yang diserapkan melalui watak-watak yang lain. Penulis, bagi saya amat menjiwai watak yang diketengahkan dalam setiap penceritaan. Cukup sempurna.
Tidak mustahil bagi saya untuk membacanya berkali-kali lagi selepas ini. Satu karya yang amat terperinci.
MahsihLuzd